Text Size

PESAKIT BAYAR PENUH (FPP)

...

Baca lagi...

UNIT PERUBATAN TRADISIONAL DAN KOMPLEMENTARI



Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum dan mempunyai warisan yang kaya dengan pelbagai amalan perubatan tradisional yang berasal dari kumpulan etnik yang berbeza. Menyedari kepentingan dan penggunaan perubatan tradisional dan komplementari (PT&K) yang semakin meluas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan Dasar PT&K Kebangsaan pada tahun 2001 dengan visi untuk mengintegrasikan PT&K ke dalam sistem penjagaan kesihatan kebangsaan. Pada tahun 2008,unit PT&K telah ditubuhkan di tiga (3)hospital kerajaan iaitu Hospital Putrajaya, Hospital Kepala Batas (Pulau Pinang) dan Hospital Sultan Ismail (Johor Bharu) sebagai projek perintis.

Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari di Hospital Putrajaya telah mula beroperasi pada 3 Mac 2008 dengan menawarkan perkhidmatan urutan tradisional Melayu dan rawatan akupunktur untuk pesakit pasca angin ahmar dan kesakitan kronik. Rawatan ini bertujuan untuk membantu meningkatkan pemulihan pesakit angin ahmar dan mengurangkan kesakitan pada pesakit kesakitan kronik. Kesakitan kronik adalah sakit yang berlarutan seperti migrain, sakit lutut, sakit belakang dan lain-lain. Pada 1 Oktober 2008, rawatan herba telah mula diperkenalkan di unit ini dan rawatan ini ditawarkan kepada pesakit kanser sebagai rawatan sokongan kepada rawatan kanser konvensional. Rawatan penjagaan tradisional Melayu selepas bersalin merupakan perkhidmatan baru yang telah diperkenalkan pada 17 Julai 2009 dan pada tahun 2012, perkhidmatan ini telah diperluaskan ke Pusat Bersalin Berisiko Rendah (PBBR) di Presint 8, Putrajaya.

RAWATAN YANG DITAWARKAN

A) Urutan Tradisional Melayu
B) Rawatan penjagaan tradisional Melayu selepas bersalin
C) Akupunktur


URUTAN TRADISIONAL MELAYU

Perubatan Tradisional Melayu merangkumi pelbagai rawatan seperti urut melayu, urut patah, rawatan herba, penjagaan selepas bersalin, senaman Melayu, dan bekam.

Pada ketika ini, di unit PT&K, indikasi rawatan urut Melayu adalah untuk merawat kesakitan kronik dan pesakit pasca angin ahmar. Pengamal akan mengurut pada kawasan bermasalah sahaja. Kesakitan kronik tidak meliputi penyakit kronik (seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan lain-lain) dan keadaan akut (iaitu terseliuh, kepatahan, dll). Kadang kala, pesakit mungkin akan mengalami beberapa kesan sampingan selepas rawatan urutan seperti kesakitan sementara atau ketidakselesaan, lebam, bengkak dan alah kepada minyak urut.

RAWATAN PENJAGAAN MELAYU SELEPAS BERSALIN

Rawatan tradisional Melayu selepas bersalin ditawarkan kepada ibu-ibu yang bersalin secara biasa di Hospital Putrajaya dan PBBR. Walaupun terdapat pelbagai jenis urutan Melayu selepas bersalin di Malaysia, hanya urutan penjagaan payudara dan penjagaan perbidanan yang ditawarkan di unit ini.

Bagi urutan penjagaan payudara, para ibu akan diajar teknik untuk melakukan urutan yang betul di rumah kerana ia boleh membantu dalam penghasilan susu badan dan pada masa yang sama memberi keyakinan kepada ibu-ibu ini untuk menyusukan bayi mereka.

Amalan penjagaan perbidanan yang ditawarkan di unit ini adalah urutan seluruh badan, bertungku dan bengkung. Urutan ini membantu dalam melancarkan peredaran darah yang seterusnya membantu membuang lebihan cecair, mengurangkan bengkak dan mempercepatkan proses penyembuhan. Kebiasaannya rawatan ini dijalankan pada hari ke-6 hingga ke-8 selepas bersalin dan pada hari ke-39 hingga ke- 41 dalam tempoh berpantang.

AKUPUNKTUR

Akupunktur adalah satu cabang dalam perubatan tradisional Cina yang melibatkan manipulasi jarum pada titik akupunktur tertentu pada tubuh badan. Akupunktur dilakukan untuk membebaskan Qi (iaitu tenaga dalaman) dengan mencucukkan jarum pada titik tertentu pada badan. Daripada sudut perubatan moden, apabila jarum dicucukkan pada titik akupuntur, sistem saraf dirangsang untuk merembeskan bahan kimia di dalam otot, saraf tunjang, dan otak. Bahan kimia ini akan mengubah rasa sakit atau ia akan merangsang rembesan hormon dan bahan kimia lain yang mempengaruhi sistem dalaman badan.

Akupunktur dijalankan dengan mecucuk jarum steril pakai buang dan diikuti dengan menyalurkan haba atau rangsangan elektrik pada titik akupuntur yang tepat. Ini adalah untuk menggalakkan penyembuhan badan secara semulajadi dan untuk memulihkan fungsi badan.

Di unit PT&K, rawatan akupunktur ditawarkan untuk pesakit kesakitan kronik dan pesakit pasca angin ahmar. Kadang kala pesakit akupunktur mungkin akan mengalami kesan sampingan seperti pening, sakit semasa dimasukkan atau dikeluarkan jarum akupunktur dan kesakitan setempat selepas jarum akupunktur dikeluarkan

 
 

BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MEMBUAT TEMUJANJI?

1.         Dapatkan surat rujukan daripada doktor anda untuk mendapatkan rawatan. Bagi rawatan herba, pesakit perlu dirujuk oleh Pakar Perubatan Aloptaik / Pakar Onkologi. Semasa membuat temujanji, sila bawa bersama surat rujukan tersebut ke unit PT&K.

2.         Tarikh temujanji akan diberikan selepas:
a) kakitangan yang bertugas telah mengesahkan bahawa rawatan yang anda pilih sesuai dengan anda dan berada dalam skop perkhidmatan PT&K
b) anda telah bersetuju untuk menjalani dua kali sesi rawatan setiap minggu. (rawatan akupunktur dan urutan Melayu sahaja).
 

Laman web rasmi BPTK KKM:  http://tcm.moh.gov.my/

  Logo Rasmi KKM Utamakan Kesihatan 02msc-logo mysejahtera-vector-logo